fb fb fb fb fb

Pesara rugi RM241,900 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

FOTO FAIL

IPOH, 6 Julai - Seorang pesara kerani sekolah mengalami kerugian RM241,900 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertainya menerusi laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 67 tahun itu pada pukul 10.48 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati wanita itu berminat dengan tawaran menarik melalui skim pelaburan terbabit yang menjanjikan keuntungan 8,000 peratus daripada jumlah pelaburan.

"Mangsa melakukan 25 transaksi ke dalam 16 akaun yang berbeza bermula April hingga Jun lepas. Kerugian yang dialami merupakan wang simpanan milik mangsa sendiri," katanya.

Heisham berkata wanita terbabit hanya menyedari ditipu setelah tidak menerima keuntungan yang dijanjikan sejak April lepas dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam melayari laman media sosial dan sentiasa cakna dengan trend terkini jenayah penipuan yang sentiasa berubah.

TETITIA YUSOFF