fb fb fb fb fb

KPDN sita 39 unit dakwat pencetak disyaki tiruan bernilai RM11,700

Foto KPDN Kedah

ALOR SETAR, 6 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 39 unit dakwat pencetak jenama terkenal bernilai RM11,700 yang disyaki tiruan.

Ia hasil serbuan di sebuah premis di Bandar Baru Mergong bersama wakil Trade Mark Owner (TMO) bagi produk dakwat pencetak (ink cartridge) berjenama terkenal.

Risikan dijalankan di sekitar Alor Setar sejak Mei lalu hasil aduan dan risikan oleh wakil Trade Mark Owner (TMO).

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dijalankan sekitar pukul 12.00 tengah hari itu melibatkan seramai sembilan anggota Pegawai Penguat Kuasa KPDN Alor Setar dan seorang pegawai wakil TMO.

Hasil serbuan mendapati pemilik syarikat iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun berada di dalam premis tersebut.

"Selain membekalkan produk dakwat pencetak, pegawai serbuan mendapati premis ini juga turut membekalkan pelbagai jenis alat tulis seperti kertas, gunting dan lainlain kepada agensi-agensi kerajaan.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis menjumpai sebanyak 39 unit dakwat pencetak berjenama terkenal telah disahkan tiruan oleh wakil TMO dan disita bagi siasatan lanjut", katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagang berdaftar.

Nilai rampasan keseluruhan adalah dianggarkan sebanyak RM11,700.00.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, kes ini juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan hasil penjualan barangan tiruan ini.

KPDN memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak menjual atau menawarkan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah dan sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penjualan barangan tiruan.

Sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN berhubung kegiatan yang mencurigakan.

ROSLINA BINTI DIN