BINTULU, 3 September - Seorang pesara swasta berusia lingkungan 60-an kerugian lebih RM450,000 selepas diperdaya sindiket phone scam di daerah ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam kenyataan memaklumkan, mangsa menerima panggilan pada Jun lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai hospital, sebelum disambungkan kepada suspek lain yang mendakwa beliau terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
"Mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa transaksi wang ke akaun suspek secara berperingkat, sebelum akhirnya menyedari dirinya ditipu," katanya.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan mencurigakan, menggunakan aplikasi semakan seperti Whoscall dan Semak Mule PDRM, serta segera menghubungi NSRC di talian 997 sekiranya berdepan situasi seumpama ini.