KOTA KINABALU, 4 September- Prosiding inkues kematian remaja 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, memasuki hari kedua hari ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dengan tumpuan kepada keterangan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu.
Prosiding bermula seawal pukul 9.00 pagi dengan Dr Jessie kembali ke kandang saksi menyambung keterangannya semalam.
Pasukan peguam yang mewakili lima remaja perempuan tertuduh turut membawa masuk sebuah patung anatomi manusia bagi membantu saksi menjelaskan kecederaan dialami mangsa pada anggota badan tertentu.
Dr Jessie ialah salah seorang daripada empat pakar forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Zara Qairina, dan keterangannya dijangka menjadi faktor penting dalam menentukan arah prosiding.
Inkues selama 19 hari ini bertujuan mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa serta meneliti kemungkinan wujud kecuaian, penglibatan pihak ketiga atau unsur jenayah.
Prosiding dijadual berlangsung sehingga penghujung bulan ini dengan beberapa saksi pakar lain turut akan memberi keterangan.