IPOH, 4 September- Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang berpenampilan wanita, minggu lalu.
Tertuduh, M I Saravanan, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa seorang anak itu didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang lelaki di lorong tepi bangunan Hotel Grand View, Jalan Horley, Ipoh pada 27 Ogos lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula bagi serahan beberapa dokumen termasuk laporan bedah siasat, forensik, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemui pekerja hotel sekitar pukul 6.00 pagi dengan kesan kecederaan serius di kepala dan belakang badan.
Rakaman CCTV turut menunjukkan mangsa dikejar sebuah lori kira-kira pukul 4.24 pagi sebelum berlaku pergelutan dengan suspek, lalu digilis kenderaan berkenaan.