TAIPING, 9 Februari - Seorang penuntut universiti kerugian lebih RM115,000 selepas terpedaya sindiket penipuan 'Phone Scam' yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
Laporan mengenai kejadian diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 5 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail menerusi kenyataan berkata, pada 13 Januari lalu mangsa berusia 25 tahun telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai wakil kedutaan negara China.
"Suspek memaklumkan terdapat nombor telefon yang didaftarkan atas nama mangsa dan digunakan untuk membuka akaun yang terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.
"Talian itu kemudian disambungkan ke Balai Polis di China sebelum mangsa bercakap dengan seorang individu yang mengaku sebagai polis dan pendakwa raya," menurut Mohamad Nasir.
Mangsa telah diminta memberikan maklumat akaun, nombor kad pengenalan dan alamat selain diminta mengikuti setiap arahan diberikan suspek.
Bermula 15 Januari hingga 4 Februari 2025 mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM115,786 ke dalam lima akaun bank berbeza.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.