KOTA BHARU, 4 November- Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan parang pada 28 Oktober lalu.
Tertuduh, Noradin Ibrahim, 54-tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Ahmad Firhan Hadi Hamzah, 44-tahun, dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Kampung Kulim, Pasir Puteh, lebih kurang 6 petang pada 28 Oktober lalu.
Kesalahan itu didakwa bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 3 Disember sebagai sebutan semula kes.