BUTTERWORTH, 17 Januari- Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas lima pertuduhan memperdagang empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun pada Disember tahun lepas.
Ng Eng Lee, 36, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Pusat Perniagaan Seri Juru dan sebuah rumah di Taman Seri Juru, Bukit Mertajam antara 2 pagi hingga 3.05 petang 22 Disember 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun tidak menawarkan sebarang jaminan manakala peguam Benjamin Tan Yi Bin memohon agar Ng dibenar diikat jamin atas alasan tiada risiko tertuduh melarikan diri dan telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
(FOTO HIASAN/Foursquare)
Hakim Noor Aini Yusof membenarkan Ng diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sebelum menetapkan 21 Feb depan untuk sebutan semula kes. -BERNAMA