fb fb fb fb fb

Peniaga mengaku tidak bersalah cubaan bunuh, ugutan jenayah terhadap isteri

Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan cubaan membunuh dan ugutan jenayah terhadap isterinya, bulan lepas

KUALA KANGSAR, 16 Ogos - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan cubaan membunuh dan ugutan jenayah terhadap isterinya, bulan lepas.

Tertuduh, Mohd Azzuan Ahmad 39 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rohaida Ishak.

Mengikut pendakwaan, tertuduh telah melakukan perbuatan cubaan bunuh ke atas Nor Diyanah Ahmad, 32 tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Kesalahan dilakukan di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada 27 Julai lalu.

Tertuduh juga didakwa atas tuduhan menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian mangsa pada 26 Julai.

Pendakwaan masing-masing mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala, tertuduh diwakili peguam Hennie Soraya Hanafi.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah menetapkan 19 September ini, untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN