fb fb fb fb fb

Peniaga kosmetik dituduh edar dadah

Hukuman mati atau penjara seumur hidup / Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes keatas seorang peniaga kosmetik atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1.015 kilogram April lalu.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi serahan laporan kimia.

Tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36 tahun, didakwa mengedar dadah berbahaya di sebuah premis perniagaan di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh ditahan bersama dadah membabitkan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai hampir satu juta ringgit.

HASRON BIN HASSAN