fb fb fb fb fb

Pengasas Perkhidmatan Big Blue Taxi didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan

AYER KEROH, 4 Januari- Pengasas Perkhidmatan Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menggunakan gelaran “Datuk” palsu serta memperdaya Exco Kanan Melaka berhubung penjualan kereta mewah, dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menipu Exco Kanan Negeri, Datuk Ab Rauf Yusoh membabitkan pembelian sebuah kereta mewah jenis Toyota Alphard bernilai
RM180,000.

Tindakan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM95,000 bagi mendapatkan kenderaan dengan nombor pendaftaran khas iaitu VVP 7.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan juga denda.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai ‘Datuk’ untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 enakmen sama.

Tertuduh boleh dipenjara antara satu hingga lima tahun atau didenda minima RM250,000 dan maksima RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Speaker Dewan Negeri, Seri Negeri pada 7 Disember 2021.

(Foto fail)

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan termasuk menyerahkan passport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang diwakili peguam Loh Chon Mee bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menghidap kanser kolon dan diabetes yang kronik selain sedang menjalani kemoterapi dan dialisis sebanyak empat kali seminggu.

Tertuduh juga turut mempunyai empat lagi kes yang masih berjalan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Selangor yang membabitkan jumlah jaminan mencecah RM110,000.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Hakim Darmafikri pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 7 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media Baharu