fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat mengaku salah kemuka 42 dokumen palsu bekal minyak masak

Foto hiasan

KUANTAN, 14 Julai - Seorang pengarah syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mengemukakan 42 dokumen palsu iaitu invois jualan tunai berkaitan pembekalan minyak masak.
 
Tertuduh, Abdul Rahman Ahmad, 78 tahun, membuat pengakuan tersebut di depan Hakim, Wan Noor Aisah Mohamed.
  
Dalam prosiding hari ini, Hakim kemudian menetapkan 8 Ogos depan bagi bacaan fakta kes dan penetapan hukuman selepas mendengar hujah peguam bela berdasarkan rayuan tertuduh.
 
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menerusi sebuah syarikat didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 1 November 2023, pukul 4.30 petang di Bengkel IKS Berkembar, Lorong Kempadang Perdana 46, Pusat Pertumbuhan Desa Kg. Soi.
 
Syarikat tertuduh mengemukakan 42 dokumen palsu iaitu invois jualan tunai ke atas sebuah pasar mini berkaitan pembekalan barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu minyak masak yang dikehendaki Penolong Pengawal Bekalan.
 
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa bawah Subsekyen 8(4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22 (2) Akta yang sama (Akta 122).
 
Subseksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta dan, bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI