fb fb fb fb fb

Pengarah eksekutif kolej didakwa ugut pegawai polis

Al Farid Abdul Hajis, 40 tahun, tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Seorang pengarah eksekutif sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengugut seorang pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) menerusi telefon, pada 5 Februari lepas.

Al Farid Abdul Hajis, 40 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ASP Mohamed Hanafiah Mohamed Nawi, dengan tujuan hendak mendatangkan ketakutan kepadanya di Pejabat Pegawai Jenayah, Dang Wangi pada pukul 3.51 pagi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya ugutan adalah untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan Al Farid diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak menghubungi mangsa. Beliau kemudian menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI