fb fb fb fb fb

Penganggur direman disyaki larikan remaja perempuan

PDRM

HULU SELANGOR, 25 Julai- Seorang lelaki direman tiga hari untuk membantu siasatan kes kehilangan seorang remaja perempuan di Batang Kali, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Asri Mohd Yunus berkata, suspek yang merupakan seorang penganggur berusia lingkungan 20-an itu ditahan kerana disyaki telah melarikan mangsa.

"Polis Hulu Selangor telah berjaya mengesan kehilangan remaja perempuan tersebut di kawasan Triang, Pahang, pukul 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing terhadap lelaki itu juga negatif dadah.

Suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 27 Julai depan (Sabtu) untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, media melaporkan mangsa berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di Batang Kali, Selangor sejak Selasa lepas, ditemukan selamat di Triang, Pahang, tengah malam tadi.

SITI AISHAH MD ISA