KUANTAN, 27 Februari - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga wanita di kawasan jeti Sungai Kuantan, pada awal Februari lalu.
Tertuduh, Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53 tahun, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Norshamira Zainal, 35 tahun, di kawasan jeti Sungai Kuantan, belakang Restoran Golden Empire Palace, Jalan Padang Lalang, antara jam 7.30 hingga 8.30 malam pada 12 Februari lalu.
Tertuduh dengan itu telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Deevagaran Naidu Baskaran.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 April depan bagi serahan dokumen serta laporan forensik.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita peniaga makanan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada 13 Februari lalu selepas mangsa dikatakan datang ke kawasan tempat kejadian untuk menjalankan urus niaga secara hantaran (C.O.D) kira-kira jam 7.30 malam hari sebelumnya.
Suspek kemudiannya berjaya ditangkap pada pagi Sabtu, 15 Februari lepas, di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu dalam satu operasi bersama sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Kontinjen Terengganu.
Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan beberapa dokumen bagi membantu siasatan.