fb fb fb fb fb

Penganggur didakwa bunuh lelaki di perhentian bas

Mazlan Mat Noh, 47, dibawa ke Mahkamah Majistre Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU, 25 Julai- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah perhentian bas di sini, 13 Julai lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mazlan Mat Noh, 47, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki, Abdul Hayyiy Ismail Yahya, 31, di perhentian bas di tepi lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra di sini, antara pukul 9.29 pagi hingga 10.15 pagi, pada 13 Julai lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan Muhammad Aiman Syahmi memohon tarikh untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia serta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia dan laporan bedah siasat daripada forensik.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam di bahagian belakang badan pada 13 Julai lalu.

Mangsa ditemukan orang awam di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas pada pukul 10.00 pagi selepas terdengar suara meminta tolong.

SITI AISHAH MD ISA