fb fb fb fb fb

Penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang didakwa

Penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang hadir bersama peguam masing-masing di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini

KUALA LUMPUR, 17 Januari - Pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, tahun lepas.

Bagaimanapun, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan Tan Meng Kheng, 36, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari 26 Feb 2023.

Mohd Khairianwar, yang juga penulis skrip, dan Tan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

“Pihak kami juga memohon perintah larang suara supaya kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang komen atau kenyataan secara umum mengenai inti pati kes sehingga kes ini selesai,” kata Abdul Malik.

Peguam N. Surendran, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan rendah dan membantah permohonan larang suara atas alasan tiada bukti menunjukkan kenyataan anak guamnya sebelum ini telah mengganggu perjalanan kes.

Kedua-dua mahkamah membenarkan Mohd Khairianwar dan Tan masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM6,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan serta menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN