BUTTERWORTH, 17 Januari- Seorang jurutera mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan kematian dua guru lelaki, tahun lalu.
Tertuduh, Teoh Joo Leong, 47,memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan hingga menyebabkan kematian Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi,31 dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub,32.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Permatang Baru, Seberang Perai Utara, pada pukul 2.30 pagi, 16 Disember lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh diwakili peguam Benjamin Tan dan Chew Anthony.
Terdahulu, Nurameera menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Benjamin bagaimanapun memohon jaminan minimum dikenakan atas faktor anak guamnya yang berpendapatan RM7,000 sebulan telah bercerai dan perlu menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Pada 16 Disember lalu, media melaporkan kedua-dua guru yang dalam perjalanan pulang selepas meraikan rakan yang akan bertukar ke sekolah baharu maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan BMW yang hilang kawalan.
Insiden terbabit menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.