AYER KEROH, 17 Januari- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan menerima suapan bernilai RM2,000.
Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki berkaitan kes dadah tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hazwan Ahad minta dibicarakan dalam prosiding di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, secara rasuah menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang wanita di Taman Rambai Idaman, pada 9 Mac 2021, kira-kira pukul 3.00 petang.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kepada anak wanita itu yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan memberikan dadah kepada diri sendiri.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Kes disebut semula 21 Februari depan untuk serahan dokumen.