GEORGE TOWN, 14 Februari - Tiga kertas siasatan dibuka polis Pulau Pinang berhubung kejadian seorang penagih dadah yang mengugut ibunya untuk meletupkan rumah pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, lelaki berusia 45 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Dia lakukan ugutan untuk letupkan rumah dan tong gas dan sebagainya.
"Kita dah berjaya tangkap dia dan kita bukak 3 seksyen," katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 11:00 malam semalam itu, suspek yang berada bawah pengaruh dadah memukul ibunya yang berusia lingkungan 70-an, selain turut mengugut untuk meletupkan tong gas di kediamannya itu.
Bagaimanapun, selepas dipujuk, suspek kemudiannya melepaskan ibunya untuk keluar dari rumah.
Lelaki tersebut kemudiannya ditahan pihak polis dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.