fb fb fb fb fb

Pemilik gedung tekstil didakwa subahat sebabkan cedera parah ke atas abang ipar

Pemilik gedung tekstil terkemuka di ibu negara, Pavitar Singh Manjeet Singh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat menyebabkan kecederaan parah ke atas abang iparnya yang juga seorang bekas hakim, bulan lepas/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November - Seorang pemilik gedung tekstil terkemuka di ibu negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menyebabkan kecederaan parah ke atas abang iparnya yang juga seorang bekas hakim, bulan lepas.

Pavitar Singh Manjeet Singh, 54, didakwa bersubahat bersama Muhammad Shahrulnizam Mohd Maimun dan Muhammad Asyraf Sharin menyebabkan cedera parah ke atas Datuk Jagjit Singh Bant Singh, 67, yang kini peguam, menggunakan pemutar skru di sebuah pejabat di Solaris Dutamas, Publika, di sini pada 12.50 tengah hari, 19 Okt lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub berkata pihaknya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Jeremy Vinesh Anthony mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga kepada isteri dan seorang anak.

“Anak guam saya adalah Pengerusi Gurdwara Sahib Titiwangsa dan mempunyai hubungan rapat dengan komuniti, selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri. Tertuduh memberi kerjasama kepada pihak polis selama empat hari ditahan dan ini kali pertama dia didakwa di mahkamah,” kata peguam itu.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 5 Dis ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN