BUTTERWORTH, 19 April- Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat tempat kerjanya Jun tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Rizal Zainal Abiddin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, dia yang berusia 31 tahun itu didakwa pecah amanah menggunakan harta syarikat iaitu wang hasil jualan pelanggan berjumlah lebih RM200,000 bagi kepentingan sendiri.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.40 petang pada 23 Jun tahun lalu di kedai 7 Eleven, Jalan Bagan Ajam, Taman Bagan Ajam, Butterworth.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 beserta seorang penjamin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes akan disebut semula pada 20 Mei depan.