fb fb fb fb fb

Kes lelaki Israel: 10 ditahan semula bawah SOSMA - Polis KL

Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 19 April- Seramai 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom, ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata mereka sebelum ini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api.

Mereka kemudiannya disambung reman selama 28 hari mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

"Keseluruhan tangkapan kita ada 18 suspek, 10 daripadanya masih dalam tahanan polis.

"Reman mereka mengikut Akta Senjata Api tamat semalam dan Selasa lalu, namun kita tahan selama 28 hari lagi mengikut SOSMA bagi siasatan lanjut," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu di antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Pada 12 April lalu, lelaki Israel, Avitan, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api.

Dia yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di bilik hotel di Jalan Ampang di sini pada 27 Mac lalu selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati suspek memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.

Dia didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN
Lapan lagi individu disyaki ada kaitan dengan lelaki Israel ditahan
Lelaki Israel didakwa pagi ini
Reman terhadap lelaki warga Israel disambung tujuh hari
Pasport milik lelaki Israel adalah tulen, dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis - KDN
Lelaki warga Israel dengan enam pucuk pistol ditahan

SITI AISHAH MD ISA