fb fb fb fb fb

Pengawal keselamatan dituduh bunuh bayi sendiri

Tertuduh berusia 25 tahun tiba untuk didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi /Foto BERNAMA

BANGI, 19 April - Seorang pengawal keselamatan didakwa di mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas kesalahan membunuh bayi kandungnya yang berusia enam bulan.

Pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh Mohamad Aizat Samin, 25 di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Mengikut pertuduhan, Aizat didakwa membunuh Muhammad Aysar Wildan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Hulu Langat, pada 14 April lalu pukul 8.00 malam hingga keesokannya pukul 7.40 pagi.

Suspek berusia 25 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan Ahad lalu untuk membantu siasatan kes kematian bayi berusia enam bulan yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

Suspek ditahan di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kajang sebelum saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Bayi lelaki itu maut disyaki akibat menjadi mangsa dera bapa kandungnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD