BESUT, 9 April- Seorang pemandu lori dikenakan denda sebanyak RM1,500 selepas mengaku bersalah kerana memindahkan 32 ekor bebiri dan 21 ekor kambing secara haram tanpa kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu.
Majistret Nurliyana Md Zukri menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohamad Ismail Ab Rahman selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Selain itu, hasil jualan haiwan yang berjumlah hampir RM19,000 turut diarah untuk dilucutkan hak dan menjadi milik kerajaan.
Kesalahan ini dilakukan di Kampung Padang Landak, Besut pada 21 Januari lalu. Mohamad Ismail didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut serta Hawar Berdarah Negeri Terengganu 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM15,000 bawah subseksyen 36(7) Akta Binatang 1953.