BUKIT RAMBAI, 4 Ogos - Polis Melaka merampas pelbagai jenis kayu gaharu dan peralatan bernilai lebih RM106 juta dalam operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan hasil risikan oleh pasukan Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman pada 31 Julai lepas.
Serbuan dilakukan di dua lokasi iaitu sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dan sebuah rumah kediaman di Air Keroh Heights, setelah didapati menjalankan aktiviti pemilikan, penyimpanan, pemprosesan dan urus niaga kayu gaharu secara tidak sah.
"Antara barangan yang dirampas 566 guni kayu karas seberat kira-kira 12 ribu 178 kilogram , 277 guni serbuk kayu karas seberat 5 ribu 783 kilogram, dan 10 kotak kayu karas dianggarkan seberat 100 kilogram", katanya pada sidang media di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka.
Tiga individu turut ditahan dalam serbuan itu termasuk dua lelaki warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen sah serta seorang wanita warga tempatan berusia 55 tahun .
Kes disiasat di bawah, Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1986, serta pelbagai kesalahan lain.