fb fb fb fb fb

Individu terlibat isu Jalur Gemilang terbalik dipanggil bantu siasatan

Foto tular di media sosial menunjukkan Jalur Gemilang dikibar terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson

PORT DICKSON, 4 Ogos – Polis mengenal pasti seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang terlibat dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Penguasa Polis (Supt) Maslan Udin berkata, lelaki tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan dan bendera berkenaan telah diturunkan semula pada hari yang sama.

“Siasatan masih diteruskan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, laporan berhubung isu itu dibuat seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan isu berkenaan kerana boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE