fb fb fb fb fb

121 pendatang asing ditahan susulan aduan orang awam

Seramai 719 individu diperiksa di Kajang

KAJANG, 4 Ogos – Seramai 121 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi di sekitar bandar Kajang dan Sungai Tangkas, petang tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, seramai 82 anggota digerakkan ke dua lokasi berkenaan susulan menerima aduan orang awam yang memaklumkan terdapat ramai pekerja asing bekerja di premis perniagaan sekitar kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Basri berkata seramai 719 individu yang diperiksa dalam operasi itu terdiri daripada 534 warga asing dan 185 rakyat tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 121 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.

"Mereka terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Syria dan Sudan melibatkan 121 lelaki dan 12 wanita.

“Ketika serbuan di Sungai Tangkas, beberapa PATI sempat melarikan diri. Namun kita akan mengambil tindakan susulan,” katanya.

Menurut Basri, antara lokasi yang diperiksa termasuk medan selera di Kajang, di mana pekerja asing bertindak sebagai tukang masak dan juruwang.

"Pekerja asing yang ditahan mendakwa mereka hanya pekerja di situ. Namun JIM akan menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan sama ada benar mereka hanya pekerja atau menjadi majikan di premis perniagaan itu," katanya.

Beliau turut mengingatkan majikan supaya tidak terpedaya dengan ejen yang mendakwa Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dilaksanakan.

Tegasnya, JIM hanya melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang bagi membolehkan mereka yang tinggal lebih masa pulang ke negara asal.

Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke depoh tahanan imigresen untuk siasatan lanjut.

HASRON BIN HASSAN