fb fb fb fb fb

Pelajar kolej vokasional ditemukan tidak bernyawa dipercayai dibelasah rakan asrama

FOTO POLIS LAHAD DATU

LAHAD DATU, 22 Mac- Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional, dipercayai dibelasah rakannya di Lahad Datu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

ACP Dr Rohan dalam satu kenyatan berkata, susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut merampas satu alat pengecas telefon pintar dipercayai berkait dengan siasatan kes.

Beliau berkata, pihaknya bertindak atas laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan berhubung penemuan pelajar lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.50 pagi, dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memberikan rawatan kecemasan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

ACP Dr Rohan turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan pihak polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci secara telus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE