KUCHING, 22 Mac- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu menggagalkan cubaan membawa masuk dadah jenis methamphetamin seberat 26.52 kilogram memasuki negeri itu dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, nilai anggaran keseluruhan tangkapan tersebut berjumlah RM875,160.
Norizan menerusi satu kenyataan media berkata, kejadian pertama berlaku pada 13 Mac sekitar pukul 11.55 pagi semasa sepasukan pegawai Kastam dari Unit Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Sibu dengan Kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Sibu telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an sebaik sahaja imej imbasan ke atas kotak yang dibawa menunjukkan tanda positif bahan narkotik.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kotak tersebut membawa kepada penemuan sejumlah 13 bungkusan yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580.
"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki sebagai keldai dadah yang bertanggungjawab membawa masuk dadah berkenaan ke Sarawak," kata kenyataan itu.
Mahkamah Majistret Sibu telah mengeluarkan perintah reman selama enam hari bermula 14 Mac ke atas lelaki tersebut bagi tujuan siasatan.
Sementara itu, dalam kes berasingan pada 14 Mac sekitar pada pukul 12.00 tengah hari, JKDM Sibu menyita sebuah kotak yang tidak dituntut di Lapangan Terbang Sibu yang turut didapati berisi sejumlah 13 bungkusan dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580.
Dalam kenyataan tersebut, Norizan memaklumkan bahawa pihak cawangan penguatkuasaan Sibu sedang berusaha mengesan individu yang meninggalkan kotak berkenaan di Lapangan Terbang Sibu.
Modus operansi bagi kes itu adalah dengan membawa masuk bahan narkotik dari wilayah semenanjung Malaysia ke Wilayah Sarawak secara transit dan diletakan di dalam kotak bersama-sama makanan ringan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, ia dianggarkan boleh diedar kepada 132,600 orang penagih dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh Mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan.