fb fb fb fb fb

74 PATI ditahan di Kelantan dalam operasi Imigresen, JPJ

Antara warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan oleh pihak berkuasa di Kelantan, malam tadi

GUA MUSANG, 23 Mac- Seramai 74 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa JPJ, Mentara, sini, Kelantan, malam tadi.

Pengarah JIM Kelantan, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi melibatkan 35 anggota dan dibantu 12 anggota JPJ bermula pukul 10.30 malam sehingga pukul 3.30 pagi tadi.

Tangkapan melibatkan 70 lelaki dan empat wanita warga asing yang menaiki kenderaan dan bas ekspres di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis.

Ia membabitkan 34 warga Bangladesh, Myanmar (18), India (7), Indonesia (7), Pakistan (5), Filipina (dua) dan Kemboja (satu).

"Kita akan teruskan operasi sehingga rekod-rekod sudah bersih dan tidak ramai (PATI) berkeliaran. Kita banyak dapat aduan bahawa ramai PATI yang bebas, jadi inilah salah satu usaha kita untuk menangkap mereka.

"Untuk makluman, bukan semua PATI, ada antaranya mempunyai permit sah. Jadi kita hanya menjurus (operasi) kepada PATI sahaja," katanya kepada pemberita dalam operasi berkenaan di sini.

Tambah Mohd Faizal, kesemua tahanan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55 E, Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 6 (1) (c).

Katanya, seramai 480 PATI ditangkap di negeri itu sejak Januari lalu.

SITI AISHAH MD ISA