fb fb fb fb fb

Pelajar maut di asrama vokasional, KPM tiada kompromi kes buli

Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azman, pelajar kolej vokasional di Sabah ditemui meninggal dunia di bilik asrama dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan/Foto Ihsan PDRM

PUTRAJAYA, 23 Mac - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan salah laku buli dan bersedia memberi kerjasama penuh berhubung kematian seorang pelajar lelaki dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah.

KPM menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.

"KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azman, pelajar kolej vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia semalam.

"Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.

"KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya," katanya.

Selain itu juga, KPM turut menawarkan sookongan psikososial kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej.

Semalam, Muhd Nazmi ditemui meninggal dunia di bilik asrama dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada pukul 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad, berkata mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan dan pihaknya mengenal pasti punca kejadian kerana perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama lain.

Susulan itu, pihaknya menahan 13 pelajar lelaki berusia 16 hingga 19 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

GRACE AISYAH KEDAYAN