BA'KELALAN, 23 Mac - Pasukan tentera mematahkan cubaan menyeludup 150 karton rokok dianggarkan bernilai RM8,250 melalui laluan hutan ke negara jiran, petang semalam.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menjumpai tiga bungkusan hitam yang mencurigakan ketika sedang melakukan penugasan rondaan di sekitar Kampung Punang Kelalan, Ba'kelalan yang terletak 1.2 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia, kira-kira 1.30 petang.
"Hasil daripada pemeriksaan mengesahkan terdapat 150 karton rokok di dalam bungkusan tersebut di mana 100 karton rokok adalah rokok jenama Premium manakala 50 karton lagi adalah jenama Era.
"Laporan polis dibuat di Pondok Polis Ba'kelalan dan semua barangan rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, TDM terus komited memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan.