fb fb fb fb fb

Tiga individu ditahan dalam operasi banteras salah guna dadah

Op Kilau Samudera 1/2024 di sekitar perairan Sungai Kuantan

KUANTAN, 23 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang bersama-sama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang menahan tiga lelaki tempatan dalam operasi bersepadu Op Kilau Samudera 1/2024 di sekitar perairan Sungai Kuantan.

Operasi itu dijalankan pada pukul 10.00 malam tadi sehingga 3.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 32 hingga 36 tahun itu didapati positif dadah jenis methaphetamine.

"Mereka telah diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut.

"Sepanjang operasi tersebut, pemeriksaan saringan air kencing telah dilakukan ke atas 89 orang nelayan warga tempatan dan asing melibatkan 53 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi," kata Mazlan Mat Rejab.

Berdasarkan hasil maklumat risikan, operasi tersebut memfokuskan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

Jelasnya, lokasi operasi juga tertumpu di kawasan komuniti nelayan dan bot-bot nelayan di jeti persendirian sekitar Muara Sungai Kuantan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI