fb fb fb fb fb

Individu ke-14 didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik'

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 22 Mac- Seorang lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik'.

Tertuduh, Mohd Fikrie Isme 28 tahun, merupakan individu ke-14 didakwa selepas 11 individu termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa pada 22 Januari lepas dan dua lagi didakwa pada 1 Mac lepas.

Tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di Kota Kinabalu antara 2022 hingga 12 Oktober 2023.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Fikrie yang tidak diwakili peguam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim. 

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail memohon kes Mohd Fikrie dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bersama 13 tertuduh sebelum ini, dan Hakim Noor Hafizah membenarkan permohonan berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE