fb fb fb fb fb

Empat beranak ditahan bantu kes edar dadah

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad

GEORGE TOWN, 22 Mac - Polis menahan empat beranak dalam serbuan di sebuah rumah di Bayan Lepas, bagi membantu siasatan berkaitan kes pengedaran dadah.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang ibu dan tiga anak termasuk seorang daripadanya remaja bawah umur.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tangkapan itu dilakukan selepas polis menahan suami wanita berkenaan bersama-sama rakannya di rumah terbabit.

Katanya, hasil serbuan itu polis berjaya merampas ketulan mampat dipercayai ganja seberat 139.5 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM400,032.

"Siasatan mendapati dadah berkenaan untuk pasaran tempatan, dadah dipercayai jenis canabis, di mana dalam kedua-dua serbuan yang dilakukan ini pihak polis telah berjaya menangkap seramai enam orang, tiga lelaki dan tiga perempuan," kata Mohamed Usuf dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini.

Turut disita sebuah kereta dan dua motosikal, keseluruhan nilai rampasan termasuk sitaan melibatkan jumlah RM444,014.

Seorang daripada suspek turut didapati positif dadah dan kesemua mereka direman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan sepasang suami isteri dan seorang petugas syarikat pengedar kurma disyaki terlibat kes samun wang syarikat yang bernilai kira-kira RM144,000.

Kesemua suspek yang berusia 27 hingga 52 tahun itu ditahan di sekitar Seberang Perai dan Sungai Petani, Kedah.

TETITIA YUSOFF