KUALA LUMPUR, 27 Februari – Seorang pekerja kebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua lelaki.
M. Devindran, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mahariff Mahali, 41, dan Muhammad Ariff Asraff Jamaluddin, 21, di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Brickfields, pada pukul 6.18 pagi, 29 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, tidak menawarkan jaminan namun mencadangkan jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah membenarkan.
Peguam T. Mishant, yang mewakili tertuduh, merayu agar jaminan diberikan atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis.
Hakim Egusra Ali kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 April ini.