IPOH, 9 Februari - Seorang pekerja kebun didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mencederakan anggota polis yang sedang bertugas membuat rondaan, minggu lalu.
Tertuduh, T. Kuna, 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, T. Kuna didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap anggota polis, Muhammad Dzulfaizi Dzulkafli dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta jenis Proton Iriz.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kebun ladang sawit, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan, di sini pada kira-kira pukul 8 malam, 4 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan perlu menjaga ibu warga emas dan hanya berpendapatan RM1,500.
Bagaimanapun, Hakim Ainul Shahrin membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.
Terdahulu media melaporkan, seorang anggota polis bersama seorang lagi anggota membuat rondaan cegah jenayah bermotosikal telah menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz yang berhenti dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berkenaan.
Pemandu kereta itu kemudiannya bertindak mengundurkan kenderaan dan terus melanggar motosikal anggota polis tersebut.
Suspek kemudian menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi sehingga melanggar mangsa kali kedua dan memecut kereta meninggalkan tempat kejadian.
Ekoran pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan tidak dapat bergerak dan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu.