fb fb fb fb fb

Pekerja e-hailing mengaku tidak bersalah bakar kereta polis bantuan

Mohamad Hasif Syazani Zulkifle (tengah)

PETALING JAYA, 19 Februari- Seorang pekerja e-hailing yang tular di TikTok kerana membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) minggu lalu dihadapkan dengan dua pertuduhan di dua mahkamah hari ini selepas ditahan di Flora Damansara di sini.

Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Tertuduh didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad di Stesen MRT Mutiara Damansara, pukul 1.17 pagi pada 15 Februari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada tarikh sama, pukul 1.10 pagi.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun, masing-masing mencadangkan jaminan RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mereka turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Peguam bela tertuduh, Kailash Sharma memohon jaminan minimum apabila menegaskan anak guam tiada risiko melarikan diri dan rekod jenayah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA