fb fb fb fb fb

Pegawai penjara didakwa pecah amanah duit banduan

Hasry Hisyam (tengah) diiring polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini

KUALA PILAH, 6 Disember- Seorang pegawai penjara Pusat Pemulihan Dadah Jelebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang milik banduan bernilai hampir RM10,000, Mac lalu.

Tertuduh, Hasry Hisham Hassan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Inspektor Penjara Pusat Pemulihan Dadah Jelebu telah diamanahkan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu wang tunai milik banduan yang dimasukkan ke dalam Pusat Pemulihan Dadah Jelebu telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berjumlah RM9,850.

Kesalahan itu dilakukan antara 30 Mac 2023 hingga 1 Mei 2023 di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Bagaimanapun peguam Adi Zulkarnain Zulkafli memohon jumlah jaminan yang minimum berikutan tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah, selain mempunyai komitmen bulanan membayar kereta dan rumah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 10 Januari depan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI