fb fb fb fb fb

Pegawai penguat kuasa ditahan, disyaki subahat sindiket dadah terbesar di Sabah

Datuk Seri Ayob Khan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman.

KUALA LUMPUR, 8 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi penguat kuasa dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran syabu terbesar yang ditumpaskan Disember lepas di Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai 'transporter' dalam sindiket tersebut .

"Pada operasi 29 Disember lalu, kita ada buat tangkapan seorang pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak sebagai 'transporter' berumur 43 tahun.

"Dia ditahan dan bertugas di Lembah Klang suspek sebelum ini pernah bertugas di Sabah dan ini menjadikan keseluruhan tangkapan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 SOSMA seramai 11 orang,"katanya.

Dalam pada itu, Ayob turut memaklumkan akan ada tangkapan baharu dan buat masa ini siasatan masih giat dijalankkan dan menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, sitaan dan rampasan atas pelbagai aset dan akaun bank milik anggota sindiket berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pihak PDRM turut bekerjasama dengan LHDN berhubung sitaan aset berkenaa.

"Setakat ini ada 22 akaun bank yang telah dibekukan bernilai RM420,000, sebanyak 18 kenderaan mewah disita bernilai RM6.6 juta, wang tunai RM35,000, barang kemas dan jam mewah Rolex dianggarkan RM100,000,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE