KOTA BHARU, 2 Februari- Bekas banduan yang baharu dibebaskan antara tujuh suspek ditahan polis kerana jenayah curi kenderaan dan pecah rumah.
Mereka berusia antara 36 hingga 58 tahun itu dicekup dalam serbuan di dua rumah di Kampung Machang Limbat dan Kampung Berhala Lima, Pasir Tumboh, Kota Bharu.
Hasil serbuan menemukan lima kereta disyaki dicuri, peralatan mencuri kenderaan dan pecah rumah termasuk sejumlah wang.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, serbuan dilakukan hasil penemuan cap jari salah seorang daripada suspek di sebuah rumah yang mereka pecah masuk.
"Daripada risikan awal, kita percaya kumpulan ini bergerak sejak beberapa bulan yang lalu. Setakat ini, kenderaan yang dicuri ini dijual secara tidak dileraikan dan mungkin kenderaan ini digunakan untuk kegiatan lain yang menyalahi undang-undang," kata Zaki kepada pemberita RTM pada Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu.
Kesemua suspek positif dadah jenis syabu direman enam hari hingga 7 Februari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 325/353 Kanun Keseksaan.
(Lima kenderaan yang dicuri, dirampas polis Kelantan)
Sementara itu, beliau mengulas isu video tular membabitkan amukan seorang lelaki di Pasir Puteh pagi tadi, siasatan lanjut sedang dijalankan polis untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
"Kalau tengok kepada visual yang diviralkan, itu agak merbahaya kepada pengguna jalan raya.
Apa pun tindakan cepat dan kerjasama masyarakat yang peka pastinya dapat menyelesaikan sesuatu itu dengan cepat dan polis akan menyiasat apakah punca sebenar kejadian terbabit," tambah Zaki.