KOTA BHARU, 2 Februari- Polis merampas dua pucuk pistol dan menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Kedai Meranti, Pasir Mas dan di sebuah hotel bajet di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang.
Dalam serbuan 4.30 pagi itu menyaksikan seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di hadapan rumah di Kedai Meranti dan menemukan sepucuk pistol jenis 'revolver' manakala seorang lelaki warganegara Thailand berusia 35 tahun di Chabang Empat Salam yang memiliki sepucuk pistol model 213 jenis Norico dan sembilan butir peluru 9mm.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata serbuan pertama oleh pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas di sebuah rumah di Kedai Meranti dan mendapati seorang lelaki disyaki penagih dadah berdiri di hadapan rumah.
Katanya, ketika anggota AADK mahu menahan berlaku pergelutan apabila suspek cuba mencapai sesuatu disyaki senjata api jenis pistol yang berada di atas tangga rumah.
Siasatan awal mendapati, lelaki itu mengaku pistol yang dirampas adalah miliknya yang dibeli dari Thailand pada 2017 dengan harga RM2,000.
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 Februari depan.
"Jadi siasatan akan menjurus kepada apakah keperluan senjata api ini digunakan dan mungkin ada kaitan dengan kes lain.
Kita akan membuat siasatan bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan dalam seksyen ini kalau disabitkan hukuman penjara tidak lebih daripada 14 tahun dan sebatan tidak melebihi enam sebatan," kata Muhamad Zaki kepada pemberita RTM, hari ini.
(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun/BERNAMA)
Bagi kes kedua, serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Cawangan Gerakan Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan lelaki warganegara Thailand dan merampas sepucuk pistol model 213 dan sembilan butir peluru 9mm.
Jelas Datuk Muhamad Zaki sebelum itu, polis menerima aduan berhubung pergaduhan antara suami isteri di sebuah hotel bajet yang turut melibatkan senjata api.
"Serbuan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Thailand yang menginap di bilik hotel itu dan pemeriksaan menjumpai sepucuk pistol jenis Norico yang disorokkan di dalam beg galas yang dipakai suspek.
Turut ditemukan sembilan butir peluru 9mm, tiga telefon bimbit, wang tunai dan pasport suspek.
Suspek mengaku membeli pistol itu dengan harga RM4,000 dan masuk menerusi pangkalan haram," tambahnya.
Lelaki terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63.