KUALA KUBU BAHARU, 2 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand bagi membantu siasatan terperinci berhubung kes seorang rakyat Malaysia ditahan bersama beberapa laras raifal dan peluru di Sadao, Songkhla, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.
“Kita masih lagi dalam proses siasatan dengan bantuan pihak Thailand dan akan membuat siasatan lanjut. Mungkin hasil siasatan nanti kita akan kembangkan bagaimana modus operandi dan carta organisasi yang terlibat. Insya-Allah kita akan cuba dapatkan maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri satu program di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, suspek lelaki berkenaan masih ditahan di Thailand. Berdasarkan maklumat awal daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, suspek ditahan ketika memandu kenderaan bernombor plat Malaysia dengan membawa senjata api dan peluru.
Polis juga sedang menyiasat kemungkinan senjata berkenaan cuba diseludup masuk ke Malaysia.