MIRI, 2 September – Dua lelaki tempatan ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM234,000 dalam satu operasi khas di sekitar bandar ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan hasil serbuan yang dijalankan pada 30 Ogos lalu.
Menurutnya, polis menemui 5.5 kilogram syabu, lebih 800 gram dadah jenis ecstasy serta 1.25 gram ketamin selain turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM10,000.
“Keseluruhan rampasan itu dianggarkan mampu menjerat lebih 30,000 penagih. Ujian saringan awal juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah, manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman enam hari sehingga 5 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Kita masih mengesan saki baki sindiket berkaitan dan siasatan sedang dijalankan secara agresif. Ini merupakan serbuan kali kedua selepas tangkapan pertama yang lalu dan kita kembangkan siasatan sehingga tertangkap suspek baharu,” katanya.
Mohd Farhan turut menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam pengedaran dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN 012-2087222.