KLANG, 17 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)mengesan terdapat cubaan sindiket membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal melalui laluan tikus di negeri ini.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sindiket mengambil kesempatan pada awal bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Menurutnya, cabaran selepas perayaan pula adalah PATI terbabit akan cuba masuk semula ke dalam negara.
"Cabaran kami pada bulan puasa ini akan ramai keluar dia berhari raya di kampung mereka yang mana yang tiada pengenalan diri ini biasanya dia akan cari jalan tikus.
"Kita sedang meningkatkan tinjauan dan perisikan selain mengenal pasti kawasan panas di bahagian utara Selangor. Pemilik bot tempatan diingatkan untuk tidak bersekongkol dengan sindiket sebaliknya menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat," katanya kepada pemberita semasa Program Menyantuni Warga Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengarah MKN Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan.
Mengulas lanjut, Abdul Muhaimin berkata, pihaknya percaya sindiket menggunakan bot nelayan dan bot laju untuk membawa PATI ke tengah laut sebelum dipindahkan ke kapal lain yang membawa mereka pulang ke negara asal.
Sementara itu, beliau menegaskan, keselamatan perairan Selangor sentiasa dipantau dan dijaga pasukan keselamatan negara dalam memastikan isu pencerobohan dan penyeludupan dapat dibendung.
Katanya, kerjasama erat antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Maritim Malaysia perlu dipertingkat selain perkongsian maklumat serta risikan agar kes jenayah di laut dipatahkan.
"Awal Februari lalu, Maritim Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis syabu seberat 40.37 kilogram bernilai RM1.32 juta," ujarnya.