KUALA LUMPUR , 24 Julai - Pasangan suami isteri dihukum penjara selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan mereka menggunakan kulit durian minggu lalu.
Tertuduh Yorlini Abdullah Umar, 32 tahun dan suaminya Bunyamin Sukiman, 42 tahun yang juga bapa tiri kanak-kanak tersebut dijatuhkan hukuman berbeza oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zaki Mohd Salleh.
Kesalahan dilakukan ke atas mangsa berusia 8 tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada badan kanak-kanak terbabit di sebuah unit kediaman di Jalan Ampang, di sini, pada pukul 6 petang pada 16 Julai lalu.
Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, insiden itu mula dikesan apabila Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sekolah memanggil mangsa untuk siasatan susulan aduan yang mendakwa dia telah memotong tudung seorang pelajar lain.
Namun, siasatan pihak sekolah mendapati mangsa tidak terbabit dalam insiden tersebut. Sebaliknya, semasa disoal siasat, mangsa mendedahkan bahawa dia telah dipukul, telinganya dipulas dan ditumbuk oleh ibu serta bapa tirinya.
Dalam pada itu, tangan mangsa yang terluka diletakkan atas lantai sebelum kulit durian dijatuhkan ke atasnya dan kemudian luka tersebut direndam dengan air suam bergaram.
Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur telah memohon pasangan tersebut dikenakan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat kerana perbuatan mereka merendam luka dalam air garam merupakan tindakan yang sangat zalim dan ekstrem.
Jelasnya, sebagai Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak dan bukan tempat untuk melepaskan geram.
Sementara itu, peguam Simret Singh yang mewakili pasangan tersebut merayu hukuman minimum dengan alasan Bunyamin penyumbang nafkah tunggal keluarga yang bekerja sebagai penasihat jualan kenderaan, manakala Yorlini pula seorang suri rumah dan tidak bekerja, selain mrmbrtikan alasan mempunyai dua anak termasuk mangsa.
Kedua-dua tertuduh sudah ditahan reman selama tujuh hari.
Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman RM18 ribu terhadap Yorlini setelah meneliti hujah ke dua-dua pihak dan jika gagal membayar tertuduh boleh dikenakan penjara selama tiga bulan.
Bunyamin Sukiman pula dihukum penjara lima tahun bermula tarikh reman 18 Julai lalu.
Pasangan itu turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta menjalankan khidmat masyarakat selama 12 bulan.