LIMBANG, 24 Julai - Cubaan seludup 680 karton rokok dan 16 karton minuman keras pelbagai jenama berjaya dipatahkan pasukan Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) dalam satu operasi di sini awal pagi tadi.
Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) dalam satu kenyataan, memaklumkan dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan.
Suspek lelaki tempatan turut ditahan - Foto FB 9 Briged Infantri
Menurut kenyataan itu, pasukan 9 RS ketika melaksanakan rondaan di perbatasan negara telah menahan sebuah kereta yang dalam keadaan mencurigakan dan sedang menuju ke sebuah jeti.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kereta berkenaan tidak mempunyai pengenalan diri itu dipercayai ingin melaksanakan aktiviti penyeludupan melalui laluan sungai.
"Barangan rampasan dianggar bernilai RM139,228 membabitkan rokok dan minuman keras pelbagai jenama serta sebuah kereta," menurut kenyataan itu.
Rampasan diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut - Foto FB 9 Briged Infantri
Kesemua rampasan tersebut telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.
Menurut kenyataan itu lagi, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus komited memperkasakan kawalan keselamatan di persempadanan negara bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutamanya daripada sebarang jenayah rentas sempadan.
Dalam pada itu, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman turut merakamkan penghargaan kepada pasukan 9 RS atas kejayaan itu.