fb fb fb fb fb

Pasangan suami isteri dipenjara 35 tahun bunuh majikan

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar menetapkan hukuman itu kepada tertuduh pertama, Bartolomeus Fransceda dan tertuduh kedua, Ekalia, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah, 29 November lalu.

JOHOR BAHRU, 11 Disember - Sepasang suami isteri warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas membunuh majikannya di sebuah rumah di Kulai, di sini, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar menetapkan hukuman itu kepada tertuduh pertama, Bartolomeus Fransceda dan tertuduh kedua, Ekalia, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah, 29 November lalu.

Bartolomeus yang merupakan tukang kebun bagaimanapun turut diperintahkan disebat dengan 12 kali sebatan manakala isterinya yang bekerja sebagai pembantu rumah tidak disebat.

“Keputusan dibuat mengambil kira dan menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Mahkamah turut mengambil kira kenyataan impak mangsa dan fakta kes yang dibentangkan pendakwaan serta prinsip-prinsip hukuman,” kata Abu Bakar ketika penghakimannya.

Mereka didakwa secara bersama membunuh Lau Yen Na, 73 tahun, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, pada pukul 2 petang, 17 Mac 2020.

Mengikut fakta kes, mangsa dibunuh menggunakan cangkul kecil ketika mangsa sedang berehat.

Tertuduh kemudiannya melarikan kereta dan telefon bimbit mangsa ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja baharu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala dua tertuduh diwakili peguam, Ooi Pen Lyn dan S Selvi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN