fb fb fb fb fb

Bom ikan: Tekong, enam kru ditahan di Labuan

FOTO MARITIM MALAYSIA

LABUAN, 11 Disember- Sebuah bot induk bersama sebuah sampan dengan muatan 600 kilogram hasil aktiviti pengeboman ikan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Zon Maritim Labuan menerusi Operasi Vernon baru-baru ini.

Hasil rampasan yang dijalankan bersama-sama Jabatan Perikanan Malaysia Labuan itu dianggarkan bernilai RM22,000.
 
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten (Maritim) Izwanhadi Idros berkata, risikan selama sebulan berjaya mengesan dan menahan bot terbabit di kedudukan sekitar 29 batu nautika barat laut Tanjung Kubong di sini.
 
Bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama enam kru warga asing tanpa lesen bot dan lesen perikanan yang sah.
 
Pemeriksaan mendapati 300 kilogram hasil laut basah, 300 kilogram hasil laut kering dan organ dalaman ikan yang telah hancur dipercayai kesan dibom.

Selain itu, turut dijumpai peralatan mengebom ikan.
 
Kesemua nelayan, bot serta hasil tangkapan ditahan untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002.
 
Maritim Malaysia menyeru aktiviti pengeboman ikan dihentikan atau tindakan tegas akan diambil kepada pelaku aktiviti tersebut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA